Friday, 18 January 2013

Awak yang jauh.


Awak,
Sudah tiba masa,
Saya akan sampai kepada awak,
Saya akan siapkan diri saya,
Untuk berjumpa dengan awak,
Ya, hanya awak yang ada di hati saya,
Pada ketika ini. 

Awak,
Bertapa penat saya mahu memikirkan,
Apa yang harus saya sediakan,
Untuk berjumpa awak,
Saya kira banyak yang perlu saya bawak,
Untuk saya ceritakan pada awak.

Awak,
Sejauh tiga negeri kita terpisah,
Tiba masa saya perlu balik semula kepada awak,
Saya pergi dengan hati yang pelbagai rasa,
Dengan keyakinan supaya awak tidak menghampakan saya.

Awak,
Doakan saya supaya selamat sampai kepada awak,
Supaya saya dapat teruskan perjuangan,
Hingga ke penghujung bersama awak,
Supaya saya ketemu titik noktah,
Bila sudah sampai masanya,
Supaya awak dan saya dapat bersatu selamanya. 





Thursday, 17 January 2013

Itu Dulu.

Sepuluh tahun kenal, belum tentu kita faham siapa sebenarnya diri dia. Malahan sepanjang aku bernafas ini juga aku tidak kenal siapa diri aku yang sebenar. Manusia sering sahaja berubah, bukan manusia yang berubah, tapi hati, perasaan, sikap, tingkahlaku itulah yang berubah. Tidak selalu kita mahu menjadi manusia yang sama dalam erti kata lain. Jika dahulu anda menjadi manusia yang lemah, mudah dibuli, tidak mustahil lima tahun akan datang anda boleh menjadi seorang yang kuat. Kuat dalam erti kata lain, ada pendirian, tidak mudah ditindas. Kita belajar dari kesilapan diri kita atau mungkin pengalaman yang kita dapat  sepanjang kita hidup.

Hidup ini perlu pembaharuan, hadam benda yang sama setiap masa kau rasa kau boleh hidup begitu? Buat benda yang sama tanpa berubah sedikit pun. Bagi aku, aku boleh jadi manusia robot barangkali jika begitu setiap hari. Tanpa perasaan, perasaan pun jika kita hadap benda yang sama, rutin yang sama mahu jadi gila begitu. Hari-hari dilayankan perasaan tekanan tu mungkin satu hari kalau kau tidak tahan, kau boleh masuk ke kurungan bahagia yang kau cipta dari ilusi sendiri (baca : sakit jiwa). 

Ya, aku faham maksudnya jika hari ini orang ada bertegur kepada kau, eh, kau macam dah berubah. Dulu kau tak macam ni, sekarang kenapa aku tengok kau dah lain. Adakah salah jika orang itu berubah atas kehendak dia, maksud aku dia mahu cuba jadi orang yang baru, mungkin dia mahu lari dari masa silam, atau mahu selamatkan diri atau juga mencuba sesuatu yang lain dari kebiasaan. Tidak salah bukan? Jika orang itu dulunya baik berubah menjadi jahat, mungkin aku rasa ada benda yang buat dia jadi begitu, mungkin waktu keadaan baik dia dianiaya orang, mungkin, siapa kita untuk tahu akan diri dia. Dan orang yang jahat itu tidak mustahil tidak boleh jadi baik satu hari nanti.

Bagi aku penilaian orang itu berbeza-beza. Oh ya, satu hal yang perlu tahu, kita siapa untuk menilai orang sebab kita pun tak pernah nak nilai diri kita sedalamnya. Jika orang itu berubah arah kejahatan, kita doakan sahaja moga satu hari nanti, dia jumpa kembali diri dia yang sebenar. Dalam dunia ni, manusia banyak watak, walhal dalam diri kita pun banyak watak yang kita pegang, bergantung kepada keadaan dan waktu ketika itu.


Setiap orang punya masa silam, tetapi mereka juga punya masa depan yang kita tidak pernah tahu, malah mungkin masa depan mereka lebih baik dari kita. Siapa kita?

LELAH.



Kata hati,
Saya sayang dia setengah mati,
Kadang-kadang ada yang sanggup mati,
Sebab kasih melampaui.

Kata akal,
Jangan mudah jatuh sayang,
Bimbang nanti merana diri merana badan,
Sebab kasih tidak kesampaian.

Kata orang,
Bercinta biar satu,
Berkawan biar beribu,
Dalam beribu kawan,
Belum tentu jumpa yang idaman.

Tapi sejak azali,
Ilahi kata mati itu pasti. 

Wednesday, 9 January 2013

KOSONG!

Entah kenapa sejak kebelakangan ni, hidup aku bagai tak terurus. Dengan kerja yang menuntut kesabaran, dengan tugasan yang perlu dikejarkan, dengan masalah keluarga yang perlu diberi perhatian, dengan ketiadaan kenderaan, dengan dilema yang merunsingkan, dengan kasih yang tak kesampaian, argh, senang kata dengan segala macam benda.

Lelah aku memikirkan penyelesainya. Patutkan aku biarkan masalah itu selesai dengan sendirinya mengikut arus perubahan waktu dan keadaan sesuai dengan cuaca yang terkadang panas, hujang, mendung dan mungkin juga ribut. Bagai begitu juga hati dan perasaan yang aku rasa tatkala ini.

Bosan aku dengan manusia-manusia yang masih lagi sama, tidak berubah walau sedikit akan keterlanjuran perkataan yang dilontar, bagai mereka sahaja yang mampu bersuara, apa tidak rasa aku juga punya hak keadilan yang sama. Tapi aku malas untuk mengambil kira, apa mahu ditingkah dengan hinaan, aku bukan begitu. Selagi aku mampu bersabar dengan manusia bertualang ini, aku mahu kisah apa dengan semuanya. Bukannya mereka yang memberiku makanan. Tidak mati aku dengan rasa itu.

Yang kurasa hanyalah kosong. Sekosong perut ketika diminta isi makanan, sekosong tin minuman yang telah diminum, semuanya kosong. Bagai manusia robot yang hanya ada pilihan butang yang tersendiri, jika dibuang punca kuasa, pasti kaku begitu.

Tapi, semangat juang masih tinggi untuk menghabiskan apa yang telah aku mulakan, menyelesaikan apa yang tertunda, memberi kata putus akan hati yang lara. Semuanya hanya ada pada aku sahaja kerana biarlah hanya aku yang tahu kosong mana hidup ini, aku hanya perlukan waktu untuk di isi. Bukankah lebih baik begitu bagi aku.

Hal buruk yang sering dikata orang tentang kita, tiada lain melainkan mereka memang cemburu akan keberadaan kita, aku rasa.


Tuesday, 8 January 2013

Day 1, KOREA

Annyeong Haseyo!

Gitu engko. Korea ni sejak adanya muzik K-POP dengan dedrama yang meleleh tu memang terkenal sangat. Tambah-tambah lagi dengan kemunculan tarian kuda (baca : Psy) lagi lah gelem u olls. Untuk pertama kalinya aku melancong, wah ayat melancong sangat! Haha. 

Percutian ni aku gunakan khidmat Agensi Pelancongan D'Awal Management yang mana bayaran untuk 6H5M adalah sebanyak RM 3200++ termasuk tiket kapal terbang berserta sarapan pergi dan balik, penginapan sepanjang di sana di mana terdapat tiga hotel yang berlainan, pengangkutan, makanan tiga kali sehari, pemandu pelancong dan juga bayaran lain-lain. Kiranya bila engko terbang ke sana tu tinggal bawak duet poket untuk berbelanja sahaja. 

Sesetengah orang cakap pergi ikut agensi pelancongan ni terikat jadual, yela kita nak kena ikut perancangan yang dorang dah sediakan, tapi bagi pendapat aku bila tempat yang kita tak biasa nak pergi tu rasanya elok lah kita amik agensi pelancong, memudahkan kata orang. Bila Azah menawarkan aku turut serta, mulanya aku berkira-kira jugak sama ada ingin pergi atau tidak. Tapi lepas berfikir selama 10 hari lebih kurang, aku pun ambil keputusan untuk meneruskan juga walaupun terdapat kekangan wang, tapi lepas ditolak, tambah darab bahagi semua, aku rasa sempat kiranya untuk aku mengumpul duet tersebut kerana jadual dijangka berangkat pada bulan November, Azah kabor ke aku bulan Mac, so ada beberapa bulan untuk menyimpan. Hiks.


Tiba hari yang nak bertolak tu, perasaan teruja tu belum muncul lagi, flight aku belah pagi dalam jam 9.00 pagi lebih kurang. Biasala, 2 jam awal sebelum berlepas dah kena ada dekat airport. Jadinya pepagi bangun dengan mengantuknya, menuju ke airport. Pagi tu adik Azah yang hantar kiteorang dekat airport. Sebelum naik, kiteorang sarapan dulu dekat mekdi. Dah sarapan semua barulah aku chek in masuk. 


tempat duduk dalam flight.

Korang perlu abaikan muka teruja diatas. Oh ya, itu sebelum flight berlepas. Korang harus tahu bertapa tersiksa i olls dalam flight selama 360 minit bersamaan 6 jam! Aku sembang, bangun, tido, bangun, makan, tido, bangun balik pun tak sampai-sampai lagi. Gila lama dalam flight dengan tempat duduk ekonomi tu memang sangat mengujakan! 

haa, yang ni baru betul-betul asaited sebab selamat landing! 

Nak kabor ke korang ni, imigresen dia tersangatlah mesra alam (baca : sombong) . Aku buat-buat muka ramah pun takde makna dorang nak senyum ke kita balik.Tak kisahlah u olls, janji i olls dah sampai negara dorang tu pedulik hapa kan dengan yang lain. Herher.

Sampai je Incheon Airport dalam jam 5.00 petang selesai urusan dengan imigresen semua, waktu Korea awal sejam dari Malaysia. Selesai urusan, kiteorang pun keluar lah airport untuk pergi ke hotel dan makan. Memula acah-acah panas, sekali keluar je aiport hamik kau 5 darjah celcius punya sejuk dan teruja kejap walaupun petang, tapi gelap dia macam dah malam dekat Malaysia. 

very delicious chicken ginseng!

Sampai je bas , kami semua di bawa ke kedai makan. Tahap kebuluq penang kata. Makanan Korea pertama yang kami semua rasa chicken ginseng. Memula tengok macam err, nak makan ke taknak ke sebab dia ada macam bubur dalam sup tu, lepas tu ada campur dengan mee, maklumlah awak pesen hari-hari makan sambal rasa macam selera tak selera je tengok benda alah tu, tapi, tapi lepas je rasa, perrghh! terbaik habaq hang. Memang sedap. Kuantiti dia bagi tak nak banyak pulak walaupun satu mangkuk je yang korang nampak, sesungguhnya jangan terpedaya dengan gambar!

Lepas sental semua makanan tu, kami pun check in dekat hotel. Untuk malam pertama dan kedua ni kami duduk dekat Seoul Mate Hotel. Yang ni punya teruja tengok hotel dia. Histeria kejak aku dengan azah. Hamik kau bilik dia macam bilik 4 bintang lah kalau dekat Malaysia. Cukup ada komputer, tivi LCD , katil queen, tab mandi. Nak citer tab mandi yang kitaorang dapat belah luar sebelah katil. Maksudnya apa? Haha. Aku dengan azah memula terpinga-pinga sekejap, gila kau nak mandi dekat tab tu tanpa hadangan kain, amboi, ingat aku pergi berbulan madu ke apa. Hiks. Samalah jugak dengan kemudahan tivi dan komputer dia. Semua dalam bahasa Korea. Dasar!. Tapi kelajuan wifi dia memang terbaik! Sempat aku layan beberapa movie dekat sana.

nampak tak muka teruja i olls !

Yang canggih pasal Korea ni, korang tak kan jumpa paip air dekat toilet dia. Arrghh! Yang ni memang tekanan. Aku dengan Azah punyalah cari suis nak tekan-tekan yang mana satu, salah tekan benda lain yang keluar. Semua peralatan letrik dia ada button. Gila apa, lainlah kalau ada guideline dalam tulisan Inggeris, aku masih boleh faham, ni semua dia bantai tulisan dia. Menangis enko kalau tengah sakit perut tu nak ke toilet dia, sanggup aku tahan sampai ke hotel.
Bila dah terlampau canggih, aku dengan azah jadi macam buta transformasi pulak. Cari-cari suis aircond dia tak boleh nak on. Azah dengan semangatnya telefon ke kaunter bawah, nasib baiklah receptionist dia faham sikit-sikit apa yang Azah cakak, azah mintak datang betulkan aircond kitaorang, yang lawaknya mamat tu dengan selamba datang bilik kitaorang dan hidupkan guna remote control, part tu aku boleh terima lagi, tapi yang tak boleh tahan dia boleh cakap ke kami, are you hot right now? seriously i'm cold. Hahaha! hoi, memang panas lah dalam hotel tu lepas kiteorang lari-lari ke bilik orang sebelah dengan histeria bagai. Memang lah panas. Nampak sangat ko tak mandi. Eh, ada kena mengena ke? Haha.
 Dasar pilih kasih! 

Tengok, tengok. Aku dengan azah sampai sekarang tak puas hati kenapa toilet dorang dekat tab mandi tu ada tivi. Motif kiteorang takde! Aku dengan azah dapat bilik corner. Maksudnya bilik kami sedikit besar dengan ala-ala suite honeymoon gitu. Ada?






Saturday, 5 January 2013

SENDIRI.

Lewat tersedar dari mimpi.
Aku toleh kiri dan tiada apa disisi.
Pandangan aku pagi itu kosong.
Sekosong kotak waras.
Mencari dimana titik aku bermula.

Hari ini, aku bangun dari khayalan.
Aku bangkit secara perlahan.
Supaya bila aku berjalan,
Tiada sakit yang kurasakan.

Sunyi, sepi, sendiri.
Ya sendiri itu yang ku rasakan.
Aku hadam segala rasa.
Aku bina segala bahagia.

Kerana yang ku rasa bila berdua,
Hanyalah ku temui puncak derita,
Bukan tiada bahagia yang kita cipta,
Tapi aku tak pasti itu rasa yang kau rasa,
Atau ilusi aku semata.

Terduduk aku seketika,
Mencari mana khilaf ku yang kurasa.

Bingung,  sedih, marah, kecewa
Tiada setitik rasa gembira.
Jika ada hanya segaris sunyuman.
Pura-pura kadangkala.

Bila aku berlari dan terpijak duri,
Ah, apalah sangat rasanya,

Tapi bila kau  pergi dari hidup ini,
Kau tahu apa rasa pisau yang menikam.
Darahnya mengalir perlahan,
Merusuk seluruh diri.
Terbenam dalam hati.

Tersentak aku dari realiti,
Aku sedar aku hanya sendiri.
Menuju jalan Ilahi.
Kerana mati nanti juga kau sendiri.

Apalah kau kisahkan jika di dunia ini kau sendiri, nanti di alam sana juga kau tempuhi sendiri.

Friday, 4 January 2013

KAWAN?

Siapa yang selayaknya dipanggil kawan?

Adakah mereka yang selalu ambil berat pasal kita.
Adakah mereka yang selalu menelefon kita.
Adakah mereka yang selalu mengirimkan pesanan ringkas kepada kita.
Adakah mereka yang selalu membantu kita.
Adakah mereka yang menangis bersama kita.

Atau kawan yang selalu ada bila kita berjaya.
Atau kawan yang selalu ada bila kita gembira
Atau kawan yang selalu ada bila kita ketawa.

Mungkin juga yang seperti ada tapi tiada.
Mungkin juga yang seperti tidur tapi jaga.
Mungkin juga yang seperti bayang tapi nyata.

Siapa pun mereka, mereka pernah hadir dalam hidup kita.
Secara sengaja, secara paksa, secara tidak disedari.

Kita pernah ada bersama mereka.
Kita pernah bergurau bersama mereka.
Kita pernah menangis bersama mereka.
Kita juga pernah derita bersama mereka.

Kerana kita juga manusia biasa.
Kerana kita juga pernah begitu pada mereka.
Kerana kita juga punya perasaan serupa.

Semakin dewasa kita,
Semakin kita kenal diri mereka,
Semakin kita matang bersama.

Jangan pernah salahkan mereka.
Andai hadirnya mereka cuma seketika.
Andai diri mereka pernah menyakiti kita.
Andai mereka menyusahkan kita.

Kerana hubungan kawan itu,
Bukan sekadar ungkapan.
Yang bisa kita buang.
Yang mungkin kita tanam.

Hadirnya mereka mematangkan diri kita.
Menilai siapa diri kita.
Membuat kita semakin dewasa.
Memberikan kita kekuatan yang berbeda.

 carian : google

Bila toleh kebelakang, banyak kawan yang tinggalkan kita, tapi jangan lupa bila kita melangkah kehadapan, masih ramai kawan yang ada untuk kita tempuh bersama.



Thursday, 3 January 2013

KELIRU ?

Ada masa-masanya kita akan rasa yang segala benda yang kita buat serba tak kena. Serba salah, serba kekurangan, serba tak sempurna, segala serba serbi dan tindakan yang kita buat mendatangkan rasa gelisah, rasa marah, rasa benci, rasa tertekan rasa yang pelbagai rasa. Jika diadunkan semua rasa itu tidak mungkin mencipta rasa bahagia.

 Kadangkala aku keliru dalam membuat keputusan, benda keliru ni contohnya macam kau nak pergi sana tapi nak pergi ke taknak pergi ke, nampak kek coklat macam nak makan tapi tak rasa nak makan kek coklat tu lalu kau membuat pesanan lain yang takde kena mengena dengan benda asal. Apa yang aku nak beritahu sebenarnya perasaan tu, keliru tu, oh ya keliru tu kita pun tak faham sebenarnya apa yang di mahukan.

Erti kata lain,dalam hidup, ada orang sukakan kita dan kita sukakan dia balik, tapi yang lagi satu kita tak berapa sukakan dia, tapi dia sukakan kita, atau mungkin dia memang tak sukakan kita, tapi kita sukakan dia. Kalau macam ni yang mana satu yang korang akan pilih? Mesti korang akan cakap baik kita pilih yang suka dekat kita dan kita suka dekat dia. Tapi macam mana yang suka dekat kita dan kita tak suka dekat dia? Dan yang kita betul-betul suka dekat dia. Takkan kita nak biarkan perasaan suka kita pada dia hilang macam tu? Perasaan ini boleh terbahagi berapa banyak sebenarnya? Cukup rapuh ke kasih seseorang itu sehingga boleh berbagi-bagi kepada orang lain? 

Bila persoalan berbangkit yang timbul, keliru mula memainkan peranan. Sama ada kekuatan keliru tu berpihak pada perasaan kita atau berpihak pada akal kita untuk mentafsir. Kalau akal kita dapat tepis segala kekeliruan itu, emosi kita mungkin boleh jadi neutral aku rasa. Tapi jika emosi lebih mendahului fikiran, aku tak rasa masalah ini akan selesaikan dengan cara yang mudah. Paling mudah pun, aku rasa aku akan bunuh semua perasaan itu dahulu kemudian berfikir dengan tenang. Apa kau orang ingat bunuh perasaan itu macam kita bunuh semut,  itupun belum tentu kita sampai hati nak membunuh, jika berani bunuh pun, kau akan rasa penyesalan walau sedikit.

Tidak adil bukan bunuh perasaan sendiri. Jika kita biarkan perasaan itu hidup dalam diri kita, kita akan menjadi keliru, semakin keliru mahu memilh, jika pilihan itu ada. Jika pilihan itu tiada? Aku rasa aku bersedia untuk hidup seperti manusia biasa yang selama ini aku hidup. Bahagia dengan diri sendiri tapi bahagia yang kita tanam sendiri bahawa hidup sendiri itu indah. Atau berkasih tapi kita derita memikirkan kemana hala tuju. 


 sumber dari kaca mata atas talian.

Jika ada penimbang tara, aku tak rasa kasih sayang tu semua sama rata. Bohongan semata jika kita cakap kita dah adil pada keduanya dan pada sesiapa.


Wednesday, 2 January 2013

Selamat Bersekolah!

Jom ke Sekolah!

Gitu engko tagline jom ke sekolah. :D

Nak citer ke enkorang ni, aku ni dah lama la kiranya meninggalkan zaman baju putih, kasut putih, tudung putih nasib baik kain pun tidak putih, kalau tak dah serba putih aku nengoknya. Tak selera emak nak layan gitu. Tapi tula kan, kadang-kadang aku ni terfikir jugak lah kenapa sistem persekolahan memerlukan baju putih tu, motif sangat macam nak nampak suci-suci ke macam mana? Persoalan yang berlegar-legar macam ikan laga yang dalam bekas kecik, kasihan sungguh sebab hayatnya tidak berapa nak lama. Sama jugak lah macam persoalan dekat kepala aku ni, kejap-kejap timbul, kejap-kejap tenggelam. Abaikan! 

Sebenarnya aku ni sangat suka pergi sekolah, ulang semula suka pergi sekolah, tak bermakna aku suka belajar. Yela sapa yang tak suka kan dulu waktu kecik-kecik dapat jumpa kenkawan, dapat tunjuk barang baru, dapat cerita benda baru, dapat usha pakwe baru, nampak betapa semuanya perlu nak baru sesuai lah dengan tahun baru. Tu yang jadi lagu ni, membesar memang dah membesar dah malahan tersangatlah berjaya, tapi tula nak kabor, rezeki semua orang tak sama ye dak? Kenkadang kita dah cuba belajar nak dapatkan keputusan yang cemerlang tapi otak tak berapa nak laju walaupun dah tambah kelajuan masih begitu, tidaklah boleh salahkan diri sendiri. Hanya mampu mencuba dan berusaha.

Tapi sekarang aku tengok remaja-remaja yang meningkat naik ni, manjanya mengalahkan apa je. Dah beso lah dik oi, tak payah lah nak bergantung harap sangat. Aku dulu waktu darjah satu tu, mak aku hanta depan pintu kelas je, lepas dia tengok aku duduk dekat kerusi tu dia terus balik. Masuk darjah dua dan seterusnya hinggalah tamat persekolahan, aku perlu uruskan diri aku sendiri. Bayar yuran sendiri, ambil buku teks sendiri. Dah memang enko yang nak belajar, kenalah buat dan berusaha sendiri, ni semua nak harap ibu bapa bilanya nak berdikari. Tapi aku syak, anak-anak sekarang ni terlebih memandai, bukannya pandai. Dia macam memandai-mandai buat-buat pandai sendiri. Aku rasa kalau di bekalkan dengan duit bayaran yuran tu takutnya tak sampai je ke tangan cikgu, kang mau dia belanja ke awek-awek dia, jangan tak tahu budak darjah satu pun dah pandai bercinta aku perati.

Sejak 7 tahun lepas aku meninggalkan alam persekolahan, banyak yang aku rindu sebenarnya. Masa-masa aku hanya perlu fikirkan pelajaran yang rutin harian adalah bangun pagi dan pergi ke sekolah macam biasa. Jumpa kawan-kawan yang sama, hadam benda yang sama setiap hari walaupun bosan tapi ada kegembiraan disitu. Hah! yang adik-adik sekarang tengah belajar ni, janganlah sia-siakan peluang yang datang tu. Ni gaya kakak-kakak dah keluar dah ni. Toksah lah gatai beno nak berlaki, akak yang dah keje ni pun tak sibuk nak kawen. Jangan sampai korang menyesal sebab benda tu sekali je dalam hidup korang. Nanti bila dah besar menyesal macam akak ni, yang mana sebenarnya boleh jadi bakal doktor, bakal peguam bakal isteri, yang ni kena lah tunggu jodoh sampai. Hiks.

Bila intai masa lalu, banyak sebenarnya yang aku lepaskan, sama ada sengaja lepaskan atau aku yang terlepas.

Tuesday, 1 January 2013

Tahun Baru!

HOLLA!

Pergh, pergh! Nak cerita ke enkorang ni, masuk kali ni entah kali ke berapa aku punya belog pun aku tak hengat. Sebelum ni aku ada jugak bukak belog, tapi almaklumlah, atas dasar kesibukan bekerja aku tak dapat nak fokus kepada sesuatu bidang tu secara konsisten, makanya aku pun rasa belog itu harus dibubarkan.nampak tak betapa tidak terurusnya aku sebelum ni? Herherher.

Aku harap lepas ni impian ni tidak berkubur bersama-sama dengan impian sebelum-sebelum ni, ye dak? Biaselah, kadang-kadang aku ni kemain malas lagi nak menulis, tapi dedulu ada hati nak jadi penulis gitu. Ini pun terpanggil sebab aku rasa aku ada masa depan yang cerah dalam penulisan, fuhh! Riak sangat lah pulak. Tidak mengapa, janji aku puas hati dengan apa yang aku buat ni kira okey lah tu kan?

Sempena hari ni cuti umum tahun baru, aku pun taknak lah tertinggal untuk ucapan-ucapan tahun baru, nampak sangat dah macam menteri-menteri pulak gaya aku nak beri ucapan ni, Aku berharap apa yang buruk terjadi saat dan masa tahun dua ribu dua belas tu tidak terjadi lagi tahun ini, dan semuanya baik-baik belaka.

Melangkah ke tahun baru nampaknya usia aku juga bertambah, aku harap tahun ni soalan-soalan seperti jodoh tu tidak ketara sangat di pendengaran telinga aku yang kiut ni walaupun ikutkan dah ramai antara rakan-rakan aku yang telah mendirikan rumahtangga mereka. AKU? Insyaallah jika tuhan izinkan aku bertemu jodoh aku akan ke arah itu.

*kalau rindu itu boleh dipegang,dirasa agaknya apa yang korang semua rasa sekarang ni?