Sepuluh tahun kenal, belum tentu kita faham siapa sebenarnya diri dia. Malahan sepanjang aku bernafas ini juga aku tidak kenal siapa diri aku yang sebenar. Manusia sering sahaja berubah, bukan manusia yang berubah, tapi hati, perasaan, sikap, tingkahlaku itulah yang berubah. Tidak selalu kita mahu menjadi manusia yang sama dalam erti kata lain. Jika dahulu anda menjadi manusia yang lemah, mudah dibuli, tidak mustahil lima tahun akan datang anda boleh menjadi seorang yang kuat. Kuat dalam erti kata lain, ada pendirian, tidak mudah ditindas. Kita belajar dari kesilapan diri kita atau mungkin pengalaman yang kita dapat sepanjang kita hidup.
Hidup ini perlu pembaharuan, hadam benda yang sama setiap masa kau rasa kau boleh hidup begitu? Buat benda yang sama tanpa berubah sedikit pun. Bagi aku, aku boleh jadi manusia robot barangkali jika begitu setiap hari. Tanpa perasaan, perasaan pun jika kita hadap benda yang sama, rutin yang sama mahu jadi gila begitu. Hari-hari dilayankan perasaan tekanan tu mungkin satu hari kalau kau tidak tahan, kau boleh masuk ke kurungan bahagia yang kau cipta dari ilusi sendiri (baca : sakit jiwa).
Ya, aku faham maksudnya jika hari ini orang ada bertegur kepada kau, eh, kau macam dah berubah. Dulu kau tak macam ni, sekarang kenapa aku tengok kau dah lain. Adakah salah jika orang itu berubah atas kehendak dia, maksud aku dia mahu cuba jadi orang yang baru, mungkin dia mahu lari dari masa silam, atau mahu selamatkan diri atau juga mencuba sesuatu yang lain dari kebiasaan. Tidak salah bukan? Jika orang itu dulunya baik berubah menjadi jahat, mungkin aku rasa ada benda yang buat dia jadi begitu, mungkin waktu keadaan baik dia dianiaya orang, mungkin, siapa kita untuk tahu akan diri dia. Dan orang yang jahat itu tidak mustahil tidak boleh jadi baik satu hari nanti.
Bagi aku penilaian orang itu berbeza-beza. Oh ya, satu hal yang perlu tahu, kita siapa untuk menilai orang sebab kita pun tak pernah nak nilai diri kita sedalamnya. Jika orang itu berubah arah kejahatan, kita doakan sahaja moga satu hari nanti, dia jumpa kembali diri dia yang sebenar. Dalam dunia ni, manusia banyak watak, walhal dalam diri kita pun banyak watak yang kita pegang, bergantung kepada keadaan dan waktu ketika itu.
Setiap orang punya masa silam, tetapi mereka juga punya masa depan yang kita tidak pernah tahu, malah mungkin masa depan mereka lebih baik dari kita. Siapa kita?
No comments:
Post a Comment